RM1.3 JUTA DISALURKAN UNTUK PEMBANGUNAN PERTANIAN DI DAERAH KINTA
5 Ogos 2025 | Selasa | Batu Gajah
Pada tahun ini, kerajaan negeri dan persekutuan melalui Jabatan Pertanian Negeri Perak telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM1.3 juta kepada Pejabat Pertanian Daerah Kinta. Dana ini meliputi pelbagai skop pembangunan termasuk industri tanaman, industri asas tani, projek tanaman bawang di bawah inisiatif Agrodefence serta program pertanian bandar yang telah memberi manfaat kepada ramai pengusaha dan usahawan tani di daerah ini.
.
Majlis penyerahan telah disempurnakan oleh Yang Dihormati Pegawai Daerah Kinta, Tn. Zulhisyam bin Ahmad Shukori yang mewakili YB Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan sempena Karnival Agro Jabatan Pertanian Daerah Kinta Tahun 2025 di Arena Square, Batu Gajah. Turut hadir, Timbalan Pengarah Pertanian (Pengembangan), Encik Shahril bin Sabri.
.
Menurut Tn. Zulhisyam, Daerah Kinta menempatkan pelbagai ladang berskala kecil dan besar yang aktif serta konsisten dalam pengeluaran hasil tanaman. Sejak tahun 2021, daerah ini muncul sebagai antara pengeluar utama tanaman makanan di Perak dengan sumbangan 21 hingga 24 peratus daripada keseluruhan pengeluaran negeri.
.
Daerah Kinta turut menjadi pengeluar utama sayuran daun dan tanaman kontan dengan hanya 18% keluasan tanaman tetapi menyumbang 61% daripada pengeluaran sayur-sayuran negeri Perak bersamaan 66,729 metrik tan (MT). Antara tanaman utama ialah sawi (13,898 MT), timun (11,820.3 MT), salad (8,168 MT), bayam (7,134.4 MT), dan bendi (4,116 MT).
.
Selain itu, Kinta merupakan antara penyumbang utama tanaman kontan seperti keledek, sengkuang dan jagung. Bagi tahun 2024, daerah ini kekal sebagai pengeluar utama jagung manis negeri dengan pengeluaran sebanyak 6,773 MT (43% daripada jumlah negeri). Pengeluaran buah-buahan pula mencatatkan 5,762 MT, dengan limau bali sebagai buah utama (1,893 MT), diikuti pisang (1,007.1 MT), jambu batu (462.2 MT) dan durian (412.5 MT).
.
Turut hadir Yang Berusaha Yang Dipertua Majlis Daerah Batu Gajah, Encik Mohamad Razif bin Ramli, Yang Berusaha Timbalan Pengarah Pertanian (Operasi), Puan Zuriana binti Ahmad, Yang Berusaha Pegawai Pertanian Daerah Kinta, Puan M. Devaky a/p Murugiah, ketua-ketua jabatan, agensi negeri dan persekutuan serta pegawai-pegawai kanan Jabatan Pertanian Negeri Perak.