25 Jun 2014, Simpang Tiga, Parit Buntar, Hari Ladang Daerah Kerian 2014. Hari Ladang merupakan acara tahunan Jabatan Pertanian sebagai salah satu metodologi pengembangan yang bertujuan untuk menghebahkan program dan aktiviti Jabatan kepada pelanggan.
Hari Ladang Daerah Kerian 2014 yang berlangsung selama 3 hari pada 10-12 Jun 2014 bertempat di Pejabat Pertanian Kerian bermatlamat untuk mempergiatkan pemindahan teknologi pertanian kepada pelanggan, mengiktirafkan peranan dan komitmen petani dan pegawai kearah peningkatan produktiviti hasil pertanian serta mewujudkan hubungan dan kerjasama yang baik antara Jabatan Pertanian dengan agensi kerajaan & swasta, pemimpin tempatan seterusnya pelanggan Jabatan.
Hari Ladang Daerah Kerian 2014 yang bertemakan 'Jom Bertani' yang menyeru rakyat tanam apa yang dimakan,makan apa yang ditanam dan selebihnya dijual telah dirasmikan oleh wakil Pegawai Daerah Kerian, En Abd. Hadi bin Mohd. Shuhaimi dan turut dihadiri oleh Pengarah Pertanian Negeri Perak yang baru En. Zabidi bin Dun turut memberi ucapan aluan serta dihadiri oleh Ketua-Ketua Jabatan & Agensi Daerah Kerian, pegawai-pegawai Jabatan Pertanian, pemimpin-pemimpin politik, Pengerusi-Pengerusi JKKKK serta orang ramai dan pelangan Jabatan. Program Hari Ladang Daerah Kerian 2014 telah berlangsung dengan jayanya dengan menarik seramai 1,415 orang pengunjung berdaftar yang dihadiri sepanjang tiga hari berkenaan.